Kereta tergelongsor dalam sungai, 2 beradik maut

Kereta tergelongsor dalam sungai, 2 beradik maut

Bomba syak kereta itu mempunyai masalah teknikal menyebabkannya terus junam ke sungai walaupun enjin sudah dimatikan.

Bomba Negeri Sembilan berkata, kanak-kanak dibimbangi terperangkap masing-masing berusia enam dan lapan tahun.
Ibu dan bapa mangsa terselamat, namun dua beradik masing-masing berusia enam dan lapan tahun lemas. (Gambar APM)
PORT DICKSON:
Dua beradik ditemukan lemas, manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor dalam Sungai Tanjung Agas.

Ketua Polis Port Dickson, Maslan Udin, berkata pihaknya menerima laporan kecemasan memaklumkan kejadian membabitkan ibu bapa berusia dalam lingkungan 40-an dan anak mereka masing-masing berusia enam dan lapan tahun pada 11.24 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa empat beranak itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan mereka menggelongsor jatuh ke dalam sungai.

“Ketika kejadian bapanya berada di luar kereta, mangsa yang berada di dalam kenderaan itu kemudian menjerit meminta tolong. Pada masa sama, orang ramai yang berada berdekatan membantu dan berjaya menyelamatkan ibunya.

“Bagaimanapun, dua anak mereka tenggelam bersama kenderaan terbabit, pada 1.24 tengah hari kanak-kanak perempuan berjaya dinaikkan dan adik lelakinya dinaikkan pada 1.47 tengah hari. Mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya kepada Bernama.

Maslan berkata, kedua-dua kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian ruangan penumpang hadapan.

Beliau berkata, kereta itu berkemungkinan mempunyai masalah teknikal menyebabkannya terus menjunam ke sungai walaupun enjin sudah dimatikan.

Maslan berkata, operasi membawa naik kenderaan yang tenggelam dengan kedalaman empat meter dari dasar sungai itu telah dilakukan.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan bedah siasat dilakukan di Hospital Port Dickson esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.