
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di kediaman mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, pada 5.45 pagi, 27 Ogos lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R Lushani mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.
Terdahulu, Lushani memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk penilaian.
Pihak pembelaan tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.
Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah turut menetapkan 8 Oktober untuk laporan penilaian itu.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, mangsa dilaporkan cedera dikelar di leher, manakala suaminya turut cedera di bahagian leher dan tangan selepas mengelar dirinya menggunakan pisau sama.
Selain menanggung bayaran ansuran beli sekarang, bayar kemudian (BNPL), siasatan mendapati suspek juga tertekan kerana membuat pinjaman bank bagi tujuan pelaburan saham.