Gagal selesai isu moderator, TikTok mungkin kena tindakan, kata Fahmi

Gagal selesai isu moderator, TikTok mungkin kena tindakan, kata Fahmi

Menteri komunikasi menzahirkan rasa tidak puas hati dengan platform itu dalam kawal selia kandungan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata beliau serah kepada SKMM untuk melihat tindakan boleh dikenakan ke atas TikTok.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi amaran TikTok berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang kerana gagal menangani kebimbangan berbangkit mengenai moderator kandungan platform itu.

“Saya secara umumnya sangat tidak berkuasa hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah-masalah tertentu yang telah kami bangkitkan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok.

Fahmi turut memetik kes seorang pempengaruh TikTok, A Rajeswary, yang lebih dikenali sebagai Esha, yang menjadi mangsa buli siber.

“Dalam pertemuan hari ini, mereka gagal menyatakan jumlah moderator yang telah mereka tambah untuk mengawasi…melihat, menilai kandungan termasuk TikTok Live dalam bahasa Tamil.

“Kami telah berkali-kali meminta mereka memberikan angka, tapi berkali-kali mereka gagal. Dan ini adalah satu perkara yang sangat serius.

“Keingkaran mengatasi masalah ini boleh mengakibatkan pihak TikTok dikenakan tindakan perundangan dan saya serahkan kepada SKMM meneliti apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Fahmi turut mendedahkan antara 1 Jan hingga 31 Ogos lalu, SKMM menurunkan 76,002 video di TikTok.

Katanya, 10,730 video di TikTok tidak diturunkan walaupun telah diminta, sekali gus ‘peratusan penurunan’ hanyalah 86%.

“Penting saya tegaskan bahawa penurunan dilakukan oleh platform sendiri berdasarkan garis panduan yang telah mereka terbitkan.

“Jadi, walaupun SKMM meminta platform menurunkan sebuah kandungan, tapi sekiranya platform berpendapat, berpandangan, berasaskan undang-undang dan aspek perundangan yang ia tidak melanggari garis panduan komuniti mereka, maka kandungan tersebut tidak diturunkan.”

Beliau berkata, antara masalah utama di platform media sosial, termasuk TikTok ialah kehadiran kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Menurut garis panduan syarikat itu, mereka berusia 13 tahun ke bawah tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok.

“Jadi, ini antara beberapa perkara yang telah disampaikan kepada pihak TikTok bahawa perlu ada satu mekanisme untuk membuat pengesahan umur dan kita serahkan kepada pihak TikTok, SKMM, dan polis meneliti apakah mekanisme dan apa yang dilakukan juga di negara-negara lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.