‘Disfungsi sistemik’ punca guru bersara awal, kata NUTP

‘Disfungsi sistemik’ punca guru bersara awal, kata NUTP

Menurut kesatuan itu, langkah diperkenalkan Kementerian Pendidikan gagal mengurangkan beban kerja secara bermakna.

sekolah rendah
Dilaporkan terdapat sehingga 19,179 guru sekolah rendah dan menengah bersara awal antara 2022 dan Mei tahun ini, dengan lebih dua pertiga daripadanya menyatakan ‘hilang minat’ sebagai punca. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ribuan guru memilih bersara awal disebabkan disfungsi sistemik, beban kerja berlebihan dan kepimpinan lemah, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata ramai guru bersemangat untuk mengajar tetapi terbeban dengan tugasan perkeranian dan digital yang tidak mempunyai kaitan dengan pembangunan pelajar.

“Guru sebelum ini hanya perlu mengajar, menanda buku latihan dan menyediakan soalan peperiksaan, tanpa tugas tambahan berkaitan perkeranian dan pendigitalan,” katanya kepada FMT.

Kenyataannya itu susulan laporan bahawa 19,179 guru sekolah rendah dan menengah bersara awal antara 2022 hingga Mei tahun ini, dengan lebih dua pertiga daripadanya menyatakan ‘hilang minat’ sebagai punca.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat bahawa jumlah terperinci adalah 5,306 pada 2022, 6,394 (2023), 5,082 (2024), dan 2,397 setakat Mei tahun ini.

Fouzi berkata langkah diperkenalkan Kementerian Pendidikan – seperti memansuhkan program impak rendah dan melantik pembantu tenaga pengajar serta pengawas peperiksaan untuk peperiksaan awam – gagal mengurangkan beban kerja guru.

Menurutnya, tanpa saringan dan penugasan, usaha rekrut tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah itu. Selain itu katanya, kepimpinan lemah juga menjadi punca, dengan pentadbir mewujudkan persekitaran kerja ‘penuh tekanan dan melemahkan semangat’.

Pakar akademik P Gopala Krishnan bersetuju lonjakan dalam persaraan awal mencerminkan disfungsi sistemik dan bukan sekadar pilihan peribadi.

Beliau memetik sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS), yang memerlukan pentaksiran berterusan dan laporan terperinci sebagai satu contoh birokrasi yang membebankan.

“Dasar yang kerap berubah, kekurangan autonomi dan hilang hormat terhadap profesion itu mengubah guru daripada pendidik menjadi kerani.

“Penghakisan arah tuju dan maruah ini mematahkan semangat dan ketidakterlibatan,” katanya.

Gopala mencadangkan supaya PBS dipermudahkan atau dimansuhkan, selain untuk menggubal peruntukan waktu untuk pengajaran, menyediakan sokongan kesihatan mental tulen termasuk kaunselor di tempat kerja, dan melibatkan para guru dalam keputusan dasar.

Fouzi turut mencadangkan jawatankuasa bebas diwujudkan bagi menilai kesejahteraan guru serta persekitaran sekolah, menerusi penilaian oleh pihak yang tidak didedahkan identiti bagi memastikan maklum balas jujur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.