
Bank pusat berkata tahap OPR semasa memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
Perkembangan ini menyahut petunjuk terkini yang menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti yang dilakukan lebih awal (front-loading activities).
“Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal,” menurut kenyataan.
Bagaimanapun, perkembangan dasar perdagangan masih dijangka mempengaruhi pertumbuhan global pada masa hadapan, apabila kadar tarif yang diumumkan berkuat kuasa dan aktiviti yang dilakukan lebih awal berkurang.
“Pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan, meskipun pada tahap yang lebih rendah susulan kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif yang khusus bagi produk, serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing,” katanya.
Dalam pada itu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan yang berterusan, dan dijangka berkembang antara 4% hingga 4.8% pada 2025.
Menjelang 2026, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, katanya, manakala guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia ke13.
“Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Dalam pada itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4% dan 1.9% pada tujuh bulan pertama tahun ini, serta inflasi keseluruhan pada 2025 dan 2026 dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terkawal.
Trend harga komoditi global yang mereda dijangka menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana, manakala inflasi teras dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“Trend ini dijangka berterusan pada tahun 2026. Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dan akan diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal,” katanya.