Polis siasat 2 akaun TikTok hasut, sebar dakwaan palsu

Polis siasat 2 akaun TikTok hasut, sebar dakwaan palsu

Polis berkata pemilik dua akaun itu sudah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

m kunar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata kes pertama membabitkan isu kematian Zara Qairina Mahathir dan kes kedua pula mengait Anwar Ibrahim dengan Israel.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dua pemilik akaun TikTok atas dakwaan menghasut dan menyebar maklumat tidak benar di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata kes pertama membabitkan isu kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dan kes kedua pula mengaitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan Israel.

Menurutnya, pemilik dua akaun itu sudah dikenal pasti dan mereka tiada sebarang kaitan, dengan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Siasatan berhubung penularan (kandungan) berkenaan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebar hantaran berunsur hasutan, berita tidak benar atau kandungan boleh menimbulkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.

Tegasnya, individu yang ingkar akan berdepan tindakan tegas tanpa kompromi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.