Malaysia cemerlang raih 3 podium Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia

Malaysia cemerlang raih 3 podium Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia

Secara keseluruhan pasukan Malaysia berada di tangga kelima sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa besar dalam arena skrabel remaja.

(Dari kiri) Pengerusi Penganjur WYSC 2025 Kong Chock Heng bersama pemenang ketiga bawah-12 Ryder Lo (Australia), naib juara Nathan Tan Rui Ern (Malaysia), juara Grayson Ling Dao Xu (Malaysia) dan Pengetua Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur Cheah Swi Ee.
PETALING JAYA:
Kontinjen Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih tiga pencapaian podium dalam Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia (WYSC) 2025 berlangsung dari 30 Ogos hingga 1 Sept lalu.

Grayson Ling Dao Xu dinobatkan juara bawah-12, Nathan Tan Rui Ern naib juara bawah-12 manakala Amelia Goh Hui Neo meraih tempat ketiga bawah-14.

Secara keseluruhan, pasukan Malaysia berada di tangga kelima sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai kuasa besar dalam arena skrabel remaja.

Madhav Gopal Kamath dari India dinobatkan sebagai Juara Dunia Remaja Skrabel 2025 selepas mencatat 21 kemenangan dengan kelebihan 2,354 mata, Abdulqudus Olawale Aliu dari Nigeria muncul naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi Aehzam Ahmed dari Pakistan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh merasmikan Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia (WYSC) 2025 di Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur, Subang Jaya.

Kejohanan selama tiga hari itu berlangsung di Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur, Subang Jaya, menghimpunkan lebih 200 pemain muda dari lebih 17 negara yang mempamerkan kemahiran bahasa, ketajaman minda dan persahabatan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang merasmikan kejuaraan itu memuji peranan dalam mempromosikan skrabel sebagai sukan minda serta menyatukan golongan muda melalui cabaran intelektual.

Katanya, ia bukan sekadar pertandingan malah mengenai penguasaan bahasa, membudayakan permainan intelek dan minat terhadap permainan yang mencabar minda serta menyatukan pemain.

“Kementerian Belia dan Sukan mengiktiraf skrabel sebagai salah satu daripada 103 sukan digazetkan di Malaysia, yang membolehkan pemain menuntut pelepasan cukai bagi perbelanjaan berkaitan sukan ini.

Pasukan Malaysia dalam Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia (WYSC) 2025.

“Kami berbangga Malaysia menjadi tuan rumah perhimpunan global ini dan menzahirkan komitmen terhadap pembangunan belia dan sukan,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia melahirkan generasi pemain remaja terbaik termasuk bekas Juara Dunia Remaja (2009, 2010), naib juara (2007, 2008) serta pemenang kategori umur seperti juara bawah-8 (2019), juara bawah-10 (2023, 2024) selain 10 pemain terbaik (2023) dan Pemain Wanita Terbaik (2024).

Kejuaraan tahun ini sekali lagi membuktikan bakat remaja Malaysia mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Skrabel Malaysia (MSA), Mohammad Ali Ismail, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan.

“Kejuaraan skrabel ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dan dorongan padu pelbagai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta Sri Kuala Lumpur International School selaku tuan rumah.

“WYSC 2025 bukan sekadar pertandingan tetapi tentang semangat kesukanan, persahabatan dan minat mendalam terhadap permainan skrabel. Kami berharap pengalaman ini memberi pengalaman baik kepada semua peserta yang boleh dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Kejohanan Skrabel Remaja Dunia diiktiraf sebagai pertandingan utama bagi pemain berusia bawah 18 tahun, dan kejayaan penganjuran di Malaysia mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab sukan minda di rantau ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.