Lelaki didakwa intai usahawan wanita mandi, ceroboh inap desa

Lelaki didakwa intai usahawan wanita mandi, ceroboh inap desa

Ahmad Farhan Rizal Abdullah didakwa melakukan perbuatan itu pada 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

gavel
Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan usahawan wanita dan menceroboh sebuah inap desa, bulan lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan usahawan wanita dengan mengintainya ketika mandi dan menceroboh sebuah inap desa, bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 36 tahun itu dengan mengintainya mandi di sebuah inap desa, di Jalan Banggol Peradong, Kampung Jeram Manir, pada 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan berada dalam kawasan digunakan sebagai tempat tinggal di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Biro Bantuan Guaman Kebangsaan (BBGK) Azlina Jaafar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober ini untuk kes disebut semula.

Dalam pada itu, di mahkamah berasingan tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan dadah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyalahguna dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan.

Keputusan dibuat Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak terhadap tertuduh yang diwakili peguam daripada BBGK Nur Jawahir Muhd Zulmajdi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.