
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan hari ketiga pelaksanaan Penghargaan SARA mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi disempurnakan semalam.
Katanya, ia membabitkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat 10.30 malam Selasa berbanding RM50 juta Ahad lalu, dengan kadar transaksi berjaya meningkat kepada 95% semalam berbanding 79% pada 31 Ogos lalu.
“Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos lalu menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.”
MoF memaklumkan ini peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini dan bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.
“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem – termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir. Peningkatan ini dijangka mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.
“Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.”
Menurutnya, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Dis ini dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.