
Dr Jessie Hiu yang berpengalaman menjalankan antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun berkata, beliau diminta memberikan pandangan profesionalnya mengenai kecederaan antemortem (sebelum kematian) yang dialami oleh remaja itu.
Menurutnya, beliau juga telah menyemak rekod perubatan Zara, termasuk laporan radiograf, imbasan CT dan CTA, selain menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.
“Berdasarkan pemeriksaan lokasi di asrama si mati, ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit tingkat tiga ialah 118cm,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, lapor Berita Harian.
“Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi atas ialah 36cm yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya.”
Pusat graviti bagi badan wanita lazimnya terletak di bahagian pelvis, iaitu di bawah pusat, dalam kedudukan berdiri.
“Berdasarkan ukuran ini (ketinggian dan lebar pagar konkrit, ketinggian palang besi mendatar dan tinggi antemortem si mati), pada pendapat saya, tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di tepi pagar konkrit,” katanya menambah, remaja itu sebaliknya mungkin memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atas pagar konkrit tersebut.
Hiu telah berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sejak 1998.
Beliau juga memberi keterangan sebagai saksi pakar dengan purata 10 ke 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Mahkamah Tinggi di seluruh Sabah dan Labuan.
Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lepas, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Kota Kinabalu pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos untuk bedah siasat selepas timbulnya dakwaan dia dibuli.
Prosiding inkues berhubung kematiannya dijadualkan berlangsung pada 3, 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, dan 22 hingga 30 Sept.