
L Gopu, 44, dan V Suresh, 45, pada asalnya disabitkan oleh Mahkamah Tinggi kerana menyebabkan kematian kenalan mereka, Aris Nakam, 41, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung SC, Layang-Layang, Kluang, Johor, kira-kira 6.30 petang, 13 Sept 2015.
Panel tiga hakim yang bersidang hari ini terdiri daripada Azman Abdullah, Noorin Badaruddin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal membunuh.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 3 Mac 2024 yang meminda pertuduhan kepada membunuh tanpa niat serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap setiap tertuduh.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kedua-dua lelaki berkenaan dikenakan 12 sebatan. Hukuman penjara mereka akan bermula dari tarikh tangkapan masing-masing pada 24 dan 25 Sept 2015.
Dalam penghakimannya, Noorin berkata Mahkamah Rayuan mendapati Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila meminda pertuduhan kepada kesalahan membunuh tanpa niat walaupun terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong sabitan kesalahan membunuh.
“Kami berpendapat kecederaan yang disebabkan oleh responden (kedua-dua lelaki itu) adalah dengan niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh yang memadai hingga mengakibatkan kematian, sekali gus memenuhi takrifan perbuatan membunuh,” kata hakim.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi juga terkhilaf apabila memutuskan bahawa si mati meninggal dunia akibat kecederaan parah berdasarkan keterangan kukuh daripada pakar perubatan forensik serta seorang saksi, namun sebaliknya memutuskan bahawa responden tidak mempunyai niat untuk membunuh.
Noorin berkata keterangan pakar perubatan forensik mengesahkan bahawa kecederaan dialami tertumpu pada bahagian muka dan kepala si mati adalah sepadan dengan senjata yang digunakan serta bersifat membawa maut.
Berdasarkan fakta kes, pakar perubatan forensik yang menjalankan bedah siasat menemukan 42 kecederaan pada si mati dan mengesahkan bahawa kecederaan terbabit berpunca daripada hentakan tumpul di kepala seperti ditumbuk, ditendang atau dipukul dengan objek.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah yang mewakili pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Gopu, seorang pekerja kilang dan Suresh, seorang pengendali jentera berat hampir tamat menjalani hukuman penjara 15 tahun mereka dan akan dibebaskan tidak lama lagi sekiranya pertuduhan asal tidak dikembalikan.
Beliau turut memaklumkan seorang lagi tertuduh, P Rengadorai, telah selesai menjalani hukuman penjara 13 tahun dan sudah dibebaskan. Rayuan pendakwaan sebelum ini dalam kes Rengadorai digugurkan kerana dia gagal dikesan.
Gopu diwakili peguam T Vijaya Sandran dan V Pushparajan, manakala Suresh oleh S Vijaya Retnam @ Veizay, Subash Ramasamy serta Khairuzzaman Ridha.