Jangan rosak imej Muhyiddin dengan usul ‘kekal presiden’, ahli Bersatu diberitahu

Jangan rosak imej Muhyiddin dengan usul ‘kekal presiden’, ahli Bersatu diberitahu

Ketua Bersatu Ipoh Timor Muhammad Fadhli Ismail berkata usul itu seolah-olah menggambarkan Muhyiddin Yassin tidak mendapat sokongan penuh ahli.

BERSATU
Ketua Bersatu Ipoh Timor Muhammad Fadhli Ismail berkata kesetiaan semua ahli tidak pernah berbelah bahagi terhadap Muhyiddin Yassin yang disifatkan pemimpin berjiwa besar.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi Bersatu mengingatkan ahli tidak membawa usul mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada PRU16 dengan menyifatkan langkah itu hanya akan merosakkan imej presiden parti.

Ketua Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail, berkata kesetiaan semua ahli tidak pernah berbelah bahagi terhadap Muhyiddin yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar dan telah mengumumkan pelan peralihan kepimpinan (succession plan) sebelum ini.

“Jangan rosakkan imej Tan Sri (Muhyiddin) dengan membawa usul ‘kekal presiden’ pada perhimpunan agung kali ini yang membayangkan seolah-olah beliau tidak mendapat sokongan jitu daripada ahli.

“Hormati pendirian Tan Sri dan amanat beliau selaku ‘abah’ kita semua. Saya mohon semua ahli Bersatu hormati pendirian presiden,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyusul dakwaan terdapat gerakan untuk mendesak perwakilan membawa usul mengekalkan Muhyiddin selaku calon perdana menteri bagi gabungan PN dalam PRU16 pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kelapannya.

Fadhli mendakwa, terdapat dua sebab utama mengapa ada pihak begitu terdesak mahu mengusulkan perkara itu, sama ada kerana bergantung penuh kepada Muhyiddin untuk kelangsungan politik atau gagal membaca ‘mood’ parti komponen dalam PN yang mahukan wajah kepimpinan baharu.

“Sudah beberapa kali isyarat diberikan, termasuk cadangan PAS supaya struktur PN dirombak, hinggalah kenyataan pemimpin parti komponen yang tidak menyebut nama Tan Sri sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Fadhli menegaskan, perjuangan dalam Bersatu bukan berasaskan individu sebaliknya adalah parti.

Katanya, perhimpunan agung hujung minggu ini sepatutnya digunakan untuk mengetengahkan tawaran kepada rakyat, termasuk penyelesaian masalah negara. Ketua-ketua bahagian adalah benteng parti dan kami berjuang memastikan Bersatu terus hidup.

“Jangan direncatkan usaha kami dengan agenda peribadi. Rakyat mahu kita fokus menyelesaikan masalah mereka, bukan tergila-gila mengejar jawatan dan takhta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.