Fahmi, KPN, peguam negara akan bertemu TikTok kerana lambat bertindak

Fahmi, KPN, peguam negara akan bertemu TikTok kerana lambat bertindak

Menteri komunikasi berkata platform itu lambat memberikan polis maklumat berkaitan dalam kes penyebaran berita palsu.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif TikTok untuk membuat teguran kerana lambat bertindak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR :
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan bertemu pengurusan tertinggi TikTok Khamis ini berikutan kebimbangan terhadap media sosial yang didakwa lambat bertindak balas membantu pihak berkuasa dalam kes membabitkan penyebaran berita palsu.

Katanya, mesyuarat diadakan di Bukit Aman itu juga akan dihadiri ketua polis negara dan peguam negara.

Fahmi memetik kes baru-baru ini di mana seorang lelaki mengaku sebagai pakar bedah.

“TikTok sangat lambat dalam memberikan maklumat yang berkaitan kepada polis. Saya terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif TikTok sendiri untuk memaklumkan mereka bahawa ini adalah jenayah dan organisasi mereka sangat perlahan.

“Kita tidak boleh ada sikap sebegitu,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan Persidangan Al Grand Prix 2025.

Fahmi berkata, Meta juga akan dipanggil tidak lama lagi kerana pihak berkuasa telah mengesan isu serius yang melibatkan platformnya, termasuk kandungan berkaitan pedofilia.

Beliau berkata, kandungan seperti itu dikongsi di platform seperti WhatsApp dan Facebook.

“Tetapi platform ini nampaknya tidak mengambil serius isu sebegitu.

“Jadi dialog ini akan diteruskan dan kita akan menekankan bahawa undang-undang Malaysia terpakai kepada mereka dan mereka mesti patuhi. Kita akan memanggil setiap platform.”

Jun lalu, Fahmi berkata platform media sosial Facebook, TikTok dan YouTube telah memadam 159,518 kandungan berbahaya yang berkaitan perjudian dalam talian, penipuan, buli siber dan berita palsu.

Kira-kira separuh daripada kandungan melibatkan perjudian dalam talian, 25% berkaitan dengan penipuan, 12% berkaitan dengan buli siber dan 9% adalah berita palsu.

Fahmi sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai kehadiran berterusan kandungan eksploitasi kanak-kanak dalam talian terutama di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.