Banduan Penjara Taiping maut mungkin kerana diserang, kata pakar

Banduan Penjara Taiping maut mungkin kerana diserang, kata pakar

Ketika bedah siasat, Dr Tan Lii Jye kesan enam kecederaan dalaman serta satu kecederaan luaran pada mayat Gan Chin Eng.

Taiping prison
Suhakam jalan inkuiri untuk siasat dakwaan bahawa lebih 100 banduan Penjara Taiping diserang oleh kira-kira 60 orang warden ketika dipindahkan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Jan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang pakar patologi forensik memberitahu inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa seorang banduan Penjara Taiping yang maut semasa operasi pemindahan pada Januari lepas mungkin telah diserang.

Dr Tan Lii Jye dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dalam keterangannya berkata, mayat Gan Chin Eng dirujuk kepada beliau pada 18 Jan lepas. Mayat Gan sebelum itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Tan menjalankan bedah siasat keesokan harinya dan mengesan enam kecederaan dalaman beserta satu kecederaan luaran pada bahagian belakang si mati.

“(Daya yang dikenakan ke atas Gan) menyebabkan hatinya pecah, pendarahan dalaman perut dan beberapa tulang rusuk patah,” katanya.

Doktor itu menyimpulkan, punca kematian Gan ialah ‘kecederaan abdomen akibat hentaman benda tumpul’ dan mendapati ‘corak kecederaan pada Gan tidak konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh’.

Dr. Tan turut menjelaskan kepada panel inkuiri, kecederaan-kecederaan tersebut dialami oleh Gan sebelum dia meninggal dunia.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat tentukan sama ada sebarang objek digunakan (untuk mencederakan mangsa). Saya boleh katakan dia diserang dari belakang dan mungkin sedang bersandar atau berbaring di atas lantai (ketika diserang).

“(Daya itu) boleh disebabkan oleh tendangan atau pijakan,” katanya menambah, beliau tidak menemukan sebarang kecederaan jangka panjang pada Gan.

Peguam Andrew Khoo, yang hadir sebagai peguam pemerhati untuk Majlis Peguam Malaysia, bertanya kepada Tan mengenai laporan polis yang dibuat oleh keluarga Gan pada 18 Jan.

“Mereka berkata, mereka tidak mahu bedah siasat (pada mulanya) dan mereka tidak akan tuntut pampasan daripada sesiapa pun yang (didakwa) bertanggungjawab,” tambah Khoo.

Tan berkata, mengikut SOP Kementerian Kesihatan, hospital tidak akan mengeluarkan sijil kematian untuk Gan melainkan bedah siasat dijalankan.

Beliau juga berkata, polis enggan menandatangani sijil kematian sehingga mereka mendapat kebenaran daripada majistret untuk menjalankan bedah siasat.

Khoo: Kamu juga menyebut kamu telah jalankan kira-kira 100 bedah siasat dalam kes kematian dalam tahanan. Berapa banyakkah daripadanya yang telah lalui proses perundangan di mahkamah di mana inkues diadakan?

Tan: Saya baru sahaja terima dua sepina dari mahkamah untuk dua kes. Saya tidak tahu mengapa tiada siasatan lanjut (mengenai kes-kes kematian dalam tahanan yang lain).

Tiada tangkapan dibuat

Sementara itu, Siti Nor Rasyidah M Nadzri, pegawai polis yang menyiasat kematian Gan berkata, pihaknya telah menyoal siasat 214 saksi, termasuk banduan lain, doktor dan pegawai penjara.

Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus kemudian bertanya sama ada polis menahan sesiapa semasa proses siasatan.

Rasheeda berkata, tiada arahan daripada pegawai atasannya untuk berbuat demikian.

Hishamudin: Adakah ini dianggap sebagai kes berprofil tinggi?

Rasheeda: Ya, kerana melibatkan agensi kerajaan dan penjawat awam.

Inkuiri Suhakam ini menyiasat dakwaan bahawa lebih 100 banduan di penjara Taiping diserang oleh kira-kira 60 orang warden semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Jan.

Inkuiri yang dipengerusikan oleh Hishamudin dan pesuruhjaya Farah Nini Dusuki itu juga sedang meneliti dakwaan bahawa seorang banduan meninggal dunia dan beberapa yang lain cedera akibat penderaan yang didakwa berlaku.

Inkuiri bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.