
Pertuduhan terhadap 31 lelaki dan lima wanita berusia 21 hingga 44 tahun itu dibacakan di depan Majistret Mohd Farez Rahman, tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana semua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.
Tertuduh didakwa melakukan pakat jahat jenayah bersama, dengan bersetuju melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, iaitu menipu melalui tawaran pelaburan menyasarkan warganegara China, di sebuah rumah di Taman Tanjung, Port Dickson pada 3.30 petang 21 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum bawah Seksyen 120B(2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Chan Kai Ping memohon semua tertuduh diberikan jaminan, namun permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali yang memohon pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Azrif berkata, semua tertuduh ialah warga asing dan mempunyai risiko melarikan diri jika diberikan jaminan, selain tiada dokumen menunjukkan ikatan dengan negara ini, seperti alamat tetap, pekerjaan atau keluarga.
Katanya, kebanyakan tertuduh juga tiada dokumen perjalanan sah dan pasport tamat tempoh.
“Dokumen kedutaan mereka juga dibatalkan atas faktor kesalahan yang dilakukan di negara asal,” katanya menurut Sinar Harian.
Mahkamah kemudian menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Sept ini.