
Sebaliknya, timbalan ketua Pemuda PAS itu menjelaskan, hantaran asalnya disalah tafsir dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan tangkap layar sebelum pembetulan dibuat.
“Pada waktu kejadian, saya mendapat maklumat awal bahawa individu terbabit adalah seorang perempuan Cina. Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku, saya bertindak pantas membuat hantaran kerana bimbang soal keselamatan (baginda).
“Namun selepas beberapa minit, saya dapati maklumat itu tidak tepat dan saya segera membetulkan hantaran asal. Malangnya, tangkap layar awal itu telah tersebar dan dijadikan naratif seolah-olah saya bermain isu kaum,” katanya di Facebook.
Hafez turut menegaskan, beliau tidak pernah mempersoalkan isu kaum berhubung insiden itu, sebaliknya hanya membangkitkan isu pelanggaran kawalan keselamatan terhadap institusi diraja.
“Saya sedar pelanggaran keselamatan tidak boleh dipertahankan tanpa mengira siapa pelakunya. Namun ada pihak sengaja memanipulasi situasi ini untuk menghasut dan memecah-belahkan perpaduan kaum.”
Menurutnya, laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran tangkap layar yang disifatkan sebagai cubaan memburukkan imejnya dan mencetuskan ketegangan kaum.
“Saya memohon maaf atas kekhilafan awal. Saya yakin rakyat dapat menilai dengan adil niat sebenar saya,” katanya.
Kenyataan itu hadir susulan laporan polis oleh Pemuda DAP (Dapsy) Pulau Pinang, yang mengecam tindakan Hafez sebagai ‘politik jijik yang meniup api kebencian kaum.’
Dapsy berkata, tuduhan awal Hafez yang menyatakan wanita terbabit berbangsa Cina adalah tidak berasas, sedangkan polis mengesahkan individu itu wanita Melayu Islam yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Ini bukan sekadar kesilapan, tapi bentuk politik perkauman melampau. Perbuatan ini mencemarkan semangat Hari Kemerdekaan dan mengancam keharmonian negara,” kata sayap DAP itu.
Sehubungan itu, Dapsy menuntut permohonan maaf terbuka daripada Hafez, serta menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, seorang wanita tempatan direman tiga hari kerana cuba menyerang Sultan Perak di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak di Ipoh semalam.
Wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan pengawal keselamatan bertugas selepas masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab mengeluarkan reman bermula hari ini hingga Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.