
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beliau berpegang pada kata-kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bahawa pembangkang tidak membantah cadangan tersebut, semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat 28 Ogos lalu.
“Beliau janji kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pembangkang akan sokong akta ini. Mereka cuma minta tangguh, tetapi dia kata tak bantah.
“Saya sekarang sudah tangguh. Apabila sampai (masa) jangan pula main wayang politik, sandiwara untuk memesong pandangan orang ramai,” katanya dalam temu bual dengan media baru-baru ini.
Pendirian pembangkang itu dilaporkan Utusan Malaysia berhubung RUU PSB, mengatakan mereka tidak menolak cadangan kerajaan berkaitan dasar perumahan mampu milik, sebaliknya hanya meminta ia ditangguhkan bagi membolehkan perbincangan lebih mendalam dilakukan.
Hamzah dilapor menyatakan pembangkang bersedia menyokong cadangan kerajaan sekiranya perincian dasar tersebut dapat diperhalusi. Perkembangan ini dilaporkan sebelum RUU PSB dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada petang hari sama. Selepas pembentangan, perbahasan lanjut ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
KPKT mencadangkan RUU PSB menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.
Bacaan ketiga, perbahasan dan pengundian RUU itu akan dibuat pada mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025, bermula 6 Okt dan berakhir pada 4 Dis.
Ambang persetujuan baharu juga dinaikkan kepada 80% pemilik, yang diseragamkan ke paras 80% tanpa mengira usia bangunan.
Dalam pada itu, Nga berkata RUU PSB masih perlu melepasi beberapa lagi peringkat, sekiranya mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
“Jika diluluskan akan angkat ke Dewan Negara. Dewan Negara akan siap pada November,” katanya.
“Selepas itu, kita kena hantar kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Selepas 30 hari baru boleh angkat warta. Saya sasar ‘first’ Januari 2026 jika semua berjalan lancar.”
Sementara itu, Nga turut mengulas kenyataan Hamzah berhubung Razak Mansion, yang dijadikan contoh sebagai pembangunan semula tanpa Akta PSB.
Nga menjelaskan bahawa kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi merampas tanah di Bandar Tun Razak berkenaan.
“Ada 33 keluarga tak setuju di mana rumah mereka terus dirampas, selepas itu baru beri pampasan. Sebab itu kita tak nak ulangi kesilapan sedemikian,” katanya.