
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata syarikat terbabit berselindung di belakang syarikat sah dan salah guna lesen untuk membuat pengisytiharan palsu seperti menukar kod kastam atau butiran barangan bagi mengelakkan pembayaran cukai sebenar.
Selain pengisytiharan palsu, katanya, syarikat itu turut dikesan melakukan penyeludupan tembakau, cerut, rokok dan minuman keras dengan menyimpannya dalam gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran.
Menurutnya, siasatan SPRM juga akan memfokuskan beberapa syarikat dikesan menjadi “forwarding agent” tidak berlesen yang menyumbang kepada penyelewengan dan penipuan.
“Beberapa ‘forwarding agent’ dipercayai beroperasi tanpa lesen atau dokumen lengkap sehingga mempermudahkan aktiviti haram,” katanya menurut Harian Metro.
Zamri berkata, kegiatan sindiket itu menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai lebih RM250 juta bagi produk tembakau dan cerut antara 2020 hingga 2024.
Katanya, SPRM percaya jumlah kerugian keseluruhan lebih besar selepas membekukan akaun perbankan individu dan syarikat kira-kira RM218 juta, selain menggantung lesen import beberapa pihak.
Tegasnya, kes sedemikian menjadi skop utama siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM kerana menjejaskan hasil negara.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.