Pegawai kanan polis antara 5 ditahan terima rasuah RM9,000

Pegawai kanan polis antara 5 ditahan terima rasuah RM9,000

Semua suspek disyaki meminta dan menerima rasuah itu sebagai balasan tak ambil tindakan terhadap seorang pemilik bengkel kerana miliki motosikal curi.

macc sprm
Semua anggota polis itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM9,000, sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemilik bengkel kerana memiliki motosikal curi.

Sumber berkata, semua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan antara jam 2 hingga 5 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

“Siasatan awal mendapati semua mereka dipercayai bersubahat dalam perbuatan itu yang berlaku Jumaat lalu, semasa satu operasi di sekitar Seberang Perai.

“Seorang daripada mereka disyaki meminta dan menerima wang tunai daripada seorang pemilik bengkel motosikal yang terlibat dalam operasi tersebut,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, S Karunanithy mengesahkan penahanan kelima-lima suspek dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.