
Dalam kejadian sekitar 12.15 tengah hari di KM330 itu, Toyota Vellfire dipandu Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli musnah sepenuhnya.
Wan Hassan berkata, kejadian berlaku ketika beliau bersama isteri, Siti Zaliha Mohamad, dalam perjalanan pulang ke Dungun dari Kuantan selepas menziarahi ahli keluarga yang sakit di Perasing, Kemaman.
Setiba di lokasi, katanya, beliau menyedari kereta itu mengalami masalah di bahagian enjin dan memberhentikan kenderaan apabila ternampak lampu ‘Check Engine’ menyala.
“Sebaik saja berhenti, saya dibantu oleh seorang pengguna lebuh raya yang melihat bahagian bawah enjin berasap,” katanya.
Wan Hassan berkata, beliau menghubungi Peronda PLUS untuk meminta bantuan tetapi enjin kenderaannya mula terbakar tidak lama kemudian.
“Ketika itu, api semakin besar dan saya bersama isteri tidak mampu berbuat apa-apa. Kami hanya dapat mengambil barangan penting dan menyelamatkan diri,” katanya yang bersyukur kerana terselamat, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.47 tengah hari.
Susulan itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar 1.25 tengah hari. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.