Kerani rugi lebih RM600,000 diperdaya sindiket penipuan

Kerani rugi lebih RM600,000 diperdaya sindiket penipuan

Polis berkata mangsa hanya sedar ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anak perempuannya.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata mangsa memindahkan RM601,850 ke empat akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek dari 14 hingga 28 Ogos lalu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang kerani sebuah pejabat insurans di Bukit Mertajam kerugian RM601,850 selepas diperdaya sindiket penipuan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata wanita 61 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar pegawai bank mendakwa ada individu menggunakan kad kredit atas namanya.

Beliau berkata, mangsa menafikannya dan panggilan kemudian disambungkan kepada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai dari IPK Johor.

“Pegawai polis itu meminta butiran mangsa untuk disemak dan memberitahu dia terbabit kes pengubahan wang haram,” katanya menurut Harian Metro.

Azizee berkata, suspek meminta semua maklumat akaun bank mangsa yang masih aktif dan mengarahkannya memindahkan wang ke beberapa akaun diberikan kononnya untuk tujuan siasatan.

Menurutnya, mangsa membuat 14 transaksi pemindahan wang berjumlah RM601,850 ke empat akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek dari 14 hingga 28 Ogos lalu.

Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anak perempuannya.

Katanya, mangsa membuat laporan di IPD Seberang Perai Tengah semalam untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.