
Peguam keluarga, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin berkata, memorandum itu bertujuan mendapatkan komitmen kerajaan negeri memandangkan pelajar itu ditemui meninggal dunia di tandas asrama sebuah sekolah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK), lapor Sinar Harian.
Katanya, antara yang dituntut termasuklah meminta penjelasan berhubung perobohan tandas asrama sekitar dua hingga tiga minggu selepas penemuan jenazah Wan Faris di lokasi itu dan rekod keluar masuk pelajar.
“Selain itu, ketiadaan siasatan terhadap insiden pergaduhan sebelum penemuan jasad mangsa serta keraguan berhubung kehilangan barangan peribadi termasuk kad SIM telefon bimbit mangsa,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Ibu bapa Wan Faris, Ruhani Hussin, 70, dan Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, juga hadir menyerahkan memorandum itu kepada wakil kerajaan negeri iaitu pegawai khas kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Anas Rizuan Shamsuddin.
Tengku Shazuan juga berkata keluarga Wan Faris masih mempertimbangkan untuk memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Kelantan selepas tindakan itu dibuat terhadap kerajaan persekutuan.
Dalam kejadian pada 14 Dis 2013, Wan Faris, 16, ditemukan tergantung dalam tandas asrama sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas oleh penyelia asrama.
Kes kematian pelajar Tingkatan 4 itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun pada 2016 keputusan inkues di Mahkamah Koroner memutuskan kematian berpunca daripada tindakan individu tidak dikenal pasti.
Pada 2020, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut sebelum siasatan dibuka semula pada bulan lalu selepas desakan keluarga serta perhatian masyarakat.