Polis siasat berita tidak benar berhubung bangsa wanita naik pentas

Polis siasat berita tidak benar berhubung bangsa wanita naik pentas

Polis beri amaran tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak dengan sengaja buat atau sebar kenyataan tidak benar.

m kumar
Pengarah JSJ M Kumar umum siasatan bawah Seksyen 505(b) KK terhadap berita tidak benar berkait kes wanita ditahan kerana menaiki pentas utama.
PETALING JAYA:
Polis menyangkal ‘berita’ tidak benar di media sosial berhubung bangsa wanita yang ditahan kerana menaiki pentas utama menempatkan Sultan Perak.

Susulan penularan berita tidak benar itu, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Jika disabitkan penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah M Kumar dalam kenyataan.

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, yang jika disabitkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

“Polis memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat.”

Pagi tadi, polis menahan seorang wanita yang menaiki pentas utama menempatkan Sultan Nazrin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak.

Suspek yang berusia 41 tahun cuba mendekati Sultan Perak namun berjaya ditahan anggota keselamatan.

Semakan mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta pernah menerima rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.