
Pada perlawanan di Arena Adidas, beregu negara yang menghuni ranking kedua dunia membuka langkah kiri apabila tewas 14-21 pada set pertama kerana masih dilihat cuba membaca rentak permainan lawan.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah menampilkan kebangkitan luar biasa pada set kedua dengan mendahului 15-14 dan terus mengutip mata demi mata untuk menamatkan set 22-20, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Di set penentuan, mereka berjuang sehingga titisan peluh terakhir dan beberapa kali terjatuh atas gelanggang, namun akhirnya tewas 17-21 dalam perlawanan mendebarkan selama 83 minit untuk membawa pulang pingat perak.
Pencapaian ini tetap manis dan bersejarah buat Pearly-Thinaah yang menjadi beregu wanita pertama negara mara ke pentas akhir Kejohanan Dunia, sekali gus melepasi rekod terbaik mereka di peringkat suku akhir pada edisi 2023.
Pasangan itu gagal mengikut jejak Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah menjadi juara dunia beregu campuran, selepas menewaskan pilihan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam 40 minit aksi final terdahulu.
Dalam pada itu, Thinaah berasa gembira kerana berjaya melangkah ke final, tetapi mengakui sedikit kecewa akibat tidak mampu meraih gelaran juara, sambil memberikan pujian kepada lawan yang beraksi cemerlang.
“Memang ada sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat membawa pulang kejuaraan, tetapi saya perlu beri kredit kepada pihak lawan. Mereka bermain dengan baik, memberikan tekanan dan lebih tenang ketika melakukan pukulan.
“Ini sesuatu yang kami boleh belajar daripada mereka. Secara keseluruhan, ia tetap menjadi minggu yang baik buat kami,” katanya menerusi rakaman BWF.
Beliau berkata, mereka berusaha tidak memberikan mata mudah kepada lawan dengan memastikan setiap mata diperjuangkan selagi bulu tangkis belum jatuh ke lantai.