
Itu dirasai Leftenan jeneral pertama dari etnik Cina itu hampir dua tahun lalu ketika kehilangan isterinya, Gloria hampir dua tahun lalu.
Pada saat-saat akhirnya, sahabat-sahabat pelbagai kaum dan agama, petugas perubatan serta pesakit lain menjadi tonggak kekuatannya.
“Saya baru sahaja kehilangan isteri tercinta. Ia salah satu detik paling gelap dalam hidup saya dan saya benar-benar tertekan,” katanya kepada FMT.
Dua bulan selepas kematian isterinya, Lim kembali ke hospital untuk mengucapkan terima kasih — hatinya masih sarat duka tetapi yakin itulah yang isterinya mahukan.
Tanpa diketahuinya, satu kejutan menantinya. “Seorang doktor menubuhkan sudut inspirasi dengan gambar kami di situ untuk memberi semangat kepada pesakit lain supaya tidak berputus asa,” katanya.

Lim berkata pengalaman itu membuka matanya bahawa walau sedalam mana saat gelap yang dilalui, akan sentiasa ada cahaya kerana rakyat Malaysia yang baik sentiasa ada dan kebaikan mereka akan menyentuh hati kita.
“Saya rasa inilah maksud sebenar perpaduan dan patriotisme,” katanya.
Tabah berdepan cemuhan
Semasa pengumuman kenaikan pangkatnya pada Jun lalu, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang meraikan pencapaian itu yang memenuhi setiap ruang di media dan alam maya.
Namun, pujian turut disertai dengan kritikan.
Apa yang sepatutnya menjadi detik penuh kegembiraan bagi perintis sepertinya bertukar menjadi bahan yang menyemarakkan perbezaan kaum dan agama.
Kenaikan pangkat Lim ke jawatan leftenan jeneral, menjadikannya etnik Cina pertama yang mencapai pangkat itu dalam sejarah 92 tahun angkatan tentera Malaysia, turut dijadikan modal perdebatan politik. Namun beliau tetap tenang.
“Kenaikan pangkat saya bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak, kononnya kerana wang atau pengaruh,” katanya.
“Tidak, saya percaya saya mencapainya hasil usaha sendiri. Saya berkelayakan dan mampu memegang pangkat ini, dan angkatan tentera telah memberikan kepercayaan itu kepada saya,” jelasnya.
Beliau berkata walaupun kenaikan pangkat itu satu pencapaian profesional, secara peribadi ia juga detik yang sepatutnya dapat dikongsi bersama isterinya.
Malah beliau menzahirkan penghargaan kepada isterinya atas kejayaan itu. “Ia terasa seperti satu berkat daripadaNya (melalui isterinya),” katanya.
Lim juga berharap beliau bukan yang terakhir mencipta rekod sebegini. “Saya percaya orang lain juga boleh mencapainya jika bekerja keras dan menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya.
Seruan kepada perpaduan
Lim menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin berpecah-belah, wajar jika ramai tidak berkongsi sentimen mengenai negara, patriotisme dan pembinaan bangsa.
Katanya, semakin ramai rakyat Malaysia yang ragu-ragu untuk meraikan kejayaan negara, satu sikap yang ketara di media sosial.
“Malaysia ada 36 juta penduduk. Semua orang ada masalah, termasuk warga maya, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa kita lahir di sini dan diberi keistimewaan seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Kalau tidak boleh jadi patriotik, jadilah warganegara yang baik. Itu bermakna berdisiplin, ada kesedaran sivik dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya, sambil menekankan tanpa perpaduan nasional dan semangat patriotisme, negara tidak akan makmur.