Op Sikaro: 14 syarikat disiasat miliki lesen import rokok yang sah

Op Sikaro: 14 syarikat disiasat miliki lesen import rokok yang sah

Sumber SPRM berkata syarikat terbabit didapati membuat pengisytiharan palsu ketika proses import.

macc sprm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata aktiviti penyeludupan tembakau, rokok, dan cerut menyebabkan kehilangan hasil cukai lebih RM250 juta antara 2020 hingga 2024.
PETALING JAYA:
Sebanyak 14 syarikat yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeludup tembakau, rokok, dan cerut, didapati memiliki lesen sah mengimport.

Sumber SPRM berkata perkara itu dikesan dalam Op Sikaro selepas keterangan daripada pengarah dan wakil syarikat, lapor Utusan Malaysia.

“Setakat ini, pemeriksaan dan serbuan belum menemui sebarang bukti penggunaan setem cukai palsu, namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sumber itu juga mendedahkan syarikat terbabit didapati membuat pengisytiharan palsu semasa proses import, termasuk menggunakan kod kastam yang salah atau mengubah butiran produk.

Pada 20 Ogos lalu, SPRM menyerbu syarikat-syarikat tersebut kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan tembakau, rokok, dan cerut yang mengakibatkan kehilangan hasil cukai melebihi RM250 juta antara 2020 hingga 2024.

Sumber memaklumkan serbuan itu menyasarkan premis perniagaan dan pemilik syarikat di sekitar Lembah Klang dan Johor yang terlibat dalam perdagangan bekalan tembakau, cerut, dan minuman keras.

Agensi antirasuah itu turut membekukan akaun bank peribadi dan syarikat berjumlah kira-kira RM218 juta, manakala Jabatan Kastam telah menggantung lesen import beberapa syarikat bagi memudahkan siasatan lanjut.

Sumber berkenaan menambah, pegawai daripada agensi penguatkuasaan dipercayai turut terbabit dalam aktiviti penyeludupan itu.

Serbuan diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), dan Jabatan Kastam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.