
Beliau berkata, keputusan Sanusi menolak pencalonan bukan perkara pelik, kerana ahli PAS diajar bahawa jawatan adalah tanggungjawab, dan bukan untuk kemegahan.
“Tanpa apa-apa tekanan, beliau memutuskan untuk tidak menerima pencalonan kali ini. Mungkin masanya akan tiba, namun beliau kekal bertanding jawatan AJK PAS Pusat,” katanya lapor Berita Harian.
Takiyuddin mengingatkan Sanusi menggalas peranan ketua pengarah pilihan raya, dan akan terbabit dalam PRN Sabah akan datang.
Dengan keputusan Sanusi ini, penyandang lima jawatan tertinggi dalam PAS diumumkan menang tanpa bertanding.
“Suka saya mengumumkan PAS mengekalkan kedudukan sebagai parti paling stabil apabila secara rasmi, lima jawatan tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden serta naib presiden tidak akan ada pertandingan,” kata Takiyuddin.
Keputusan Sanusi menolak pencalonan untuk bertanding naib presiden — buat kali ketiga — dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, FMT melaporkan sumber rapat Sanusi berkata Adun Jeneri itu mungkin tidak akan bertanding naib presiden kerana merasakan barisan kepimpinan tertinggi yang ada ketika ini telah melaksanakan tugas dengan baik.