
Beliau berkata selama berdekad lamanya itulah perjuangan negara, ‘tetapi melalui kemahuan politik, kita boleh mengatasinya.”
Anwar menambah bahawa kekuatan Malaysia juga terletak pada kekuatan rakyatnya, yang mesti terus menolak amalan rasuah.
“Adakah kita berjaya menghentikan sepenuhnya perbuatan salah ini? Tidak, ia masih wujud.
“Itulah sebabnya semangat kemerdekaan bermaksud mempertahankan dan membebaskan negara ini daripada rasuah, penyeludupan dan segala kegiatan haram. Kita mesti terus berazam membebaskan rakyat kita dan menghapuskan amalan yang merosakkan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Hari Kebangsaan di sini.
Anwar berkata walaupun Malaysia mungkin tidak sempurna, tetapi negara ini telah menunjukkan kekuatan yang luar biasa.
“Saya ulang, carilah negara lain yang sekuat dan sehebat Malaysia. Saya tabik kepada rakyat Malaysia, wira sebenar semangat ini.
“Sudah tentu ada cabaran yang menguji kita. Setiap kali perubahan dicadangkan, isu perkauman sering dibangkitkan sehingga melemahkan perpaduan kita. Namun, saya bersyukur kerana majoriti rakyat kita bertindak dengan bijaksana, melihat kepada fakta dan angka, bukannya sentimen yang boleh melemahkan kekuatan kita,” katanya.
Anwar berkata pentadbirannya bertekad untuk terus membongkar monopoli serta memerangi kumpulan yang mengeksploitasi rakyat.
“Setiap mesyuarat Kabinet, tiada isu yang tidak dibincangkan. Sama ada pendidikan, kos sara hidup, dadah, atau pun harga ayam, semua perkara ini dibahaskan dengan teliti.
“Kita tahu harga global sedang meningkat, namun kerajaan ini telah meruntuhkan benteng kartel dan terus memerangi mereka yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan negara ini. Kita tidak akan berputus asa,” katanya.