
PETALING JAYA: Seorang ibu dan bayi lapan bulan maut, manakala lima lagi cedera selepas sebuah kereta dan lori bertembung di Lebuhraya Timur Barat, sempadan Perak di Jeli.
Dalam nahas kira-kira 3 petang itu, semua mangsa yang menaiki Perodua Alza itu dipercayai dari arah Perak menuju Kelantan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Anuar Hamid, berkata mangsa cedera dibawa ke Hospital Jeli, sementara dua mangsa maut dibawa ke unit forensik hospital sama.
Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima pada 3.24 petang dan tujuh anggota tiba di lokasi 33 minit kemudian.
Menurutnya, terdapat mangsa tersepit dan anggotanya melakukan “size-up” untuk menyelamatkan mangsa.
“Pemandu lori terbabit dalam kemalangan ini terselamat,” katanya menurut Sinar Harian.