
Difahamkan calon mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan dalam mesyuarat bahagian perlu mengesahkan sama ada mereka mahu bertanding atau sebaliknya kepada Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat sebelum jam 5 petang ini.
Sanusi mungkin akan kekal bertanding jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat yang menyaksikannya menerima undi tertinggi pada pemilihan, dua tahun lalu.
Sumber rapat dengan Sanusi memberitahu FMT, Adun Jeneri itu merasakan barisan kepimpinan tertinggi yang ada ketika ini telah melaksanakan tugas dengan baik dan membawa PAS ke tahap kejayaan tertinggi.
“Beliau juga mungkin mahu fokus kepada tugas sebagai menteri besar untuk membangunkan Kedah, mungkin bila sampai masa beberapa tahun nanti beliau akan bertanding (naib presiden),” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS Wan Rohimi Wan Daud mengumumkan Sanusi antara calon layak bertanding jawatan naib presiden bersama tiga penyandang Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.
FMT telah menghubungi Sanusi untuk mendapat pengesahan.
Selasa lalu, Sanusi dilaporkan berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan naib presiden PAS walaupun namanya sudah dicalonkan.
Ketua pengarah Pilihan Raya Pas itu menegaskan beliau juga tidak pernah mengejar kedudukan dan jawatan dalam parti, sebaliknya mempunyai pendirian tersendiri.
Sebagai rekod, Sanusi pernah menolak pencalonan bagi jawatan sama pada pemilihan lalu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata bukan satu kejutan jika Sanusi tidak bertanding kerana ahli dan pemimpin parti itu untuk tidak mengejar jawatan sebaliknya fokus kepada kemenangan organisasi.
“Kita tidak mengejar jawatan tapi asas lebih besar iaitu untuk menjayakan agenda parti bukannya peribadi.
“Mungkin keputusan itu paling tepat buat beliau, malah pimpinan lain juga akan buat perkara sama sebab menghormati parti dan mahu fokus menjayakan agenda parti,” katanya.