
Katanya, rundingan melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan kerajaan Indonesia baru-baru ini mengukuhkan ‘komitmen bersama ke arah kerjasama praktikal yang saling menguntungkan’ kedua-dua negara.
“Bagi Sabah, jalan komersial yang mengelak konfrontasi adalah terbaik untuk rakyat. Bertelagah mengenai garisan di peta hanya melambatkan pembangunan,” kata Adun Karanaan dalam temu bual eksklusif FMT.
Beliau menegaskan, Sabah perlu mempunyai peranan langsung dalam rundingan itu dan sebarang persetujuan tidak boleh mengorbankan kedaulatan wilayah negeri.
Malaysia dan Indonesia kini mengadakan rundingan untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di beberapa blok maritim kaya minyak dan gas di Laut Sulawesi, perairan tenggara Sabah yang dikenali republik itu sebagai Ambalat.
Pertikaian itu bermula sejak 1970-an dan sering mencetuskan ketegangan melibatkan rondaan tentera laut serta aktiviti penerokaan oleh Petronas dan Pertamina – syarikat minyak nasional kedua-dua negara.
Masidi berkata, pengaturan pembangunan bersama akan membolehkan aset minyak dan gas yang terbiar selama beberapa dekad dimanfaatkan dengan aman.
Menggabungkan sumber teknikal dan komersial, kedua-dua Petronas dan Pertamina akan mendapat akses kepada zon pengeluaran baharu, manakala Sabah menjana hasil jangka panjang dan peluang pekerjaan daripada projek yang mungkin sebaliknya terus terbengkalai.
Ini akan mengukuhkan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor minyak dan gas Sabah, sambil mengelakkan pendekatan konfrontasi seperti diambil Sarawak, yang menurut penganalisis mengakibatkan ketidakpastian peraturan.
Risiko keselamatan
Sabah dan Sarawak adalah wilayah kekayaan sumber Malaysia. Namun, zon maritimnya terletak berhampiran beberapa negara jiran, sekali gus mendedahkan negeri tersebut kepada tuntutan bertindih serta risiko keselamatan berkaitan.
“Risiko di perairan kita adalah nyata, namun kita yakin dengan kemampuan kerajaan persekutuan mengurus ancaman keselamatan serta menjaga kedaulatan negara,” katanya merujuk tuntutan di Malaysia Timur oleh China, Indonesia dan Filipina.
“Malaysia mempunyai hubungan kerja yang baik dengan negara jiran dan ini seharusnya memastikan penyelesaian aman bagi sebarang situasi.”
Sebelum ini, penganalisis menyatakan kekurangan pelaburan sejak sekian lama melemahkan kedudukan pertahanan Malaysia serta menimbulkan persoalan mengenai keupayaan negara mempertahankan aset minyak dan gas.
Pada 2021, Malaysia terpaksa menggerakkan jet pejuang selepas 16 pesawat tentera China terbang dalam formasi taktikal di perairan yang menjadi pertikaian berhampiran pantai Sarawak — insiden pencerobohan paling serius setakat ini.
Namun, Putrajaya melalui Rancangan Malaysia Ke-13 yang baru dilancarkan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan pertahanan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi ancaman kedaulatan dan keselamatan khususnya di Laut China Selatan, melengkapkan rancangan diumumkan sebelum ini untuk membina pangkalan tentera laut baharu di Bintulu.