
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Azman Mohd Yusof, karnival itu menjadi platform kerajaan, industri, penyedia latihan dan pekerja berhimpun bagi menonjolkan kemahiran yang akan membentuk masa depan Asean.
“Kemahiran itu seperti tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk mampan, inovasi hijau, kecekapan tenaga, dan pengurusan sisa,” katanya berucap melancarkan Karnival Kemahiran Hijau Asean 2025.
Karnival itu dianjurkan Kesuma melalui agensi dan badan pemikir strategiknya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Azman berkata karnival itu juga dianjurkan sebagai usaha bagi menangani cabaran menjelang 2030 iaitu kira-kira 60% belia di seluruh dunia mungkin kekurangan kemahiran menyertai ekonomi hijau.
Katanya, karnival itu memberi pendedahan awal kepada kemahiran masa depan dan menjadikan golongan belia sebagai generasi pertama tenaga kerja hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew pula berkata pihaknya bekerjasama dengan Kesuma serta rakan antarabangsa untuk memastikan kemahiran hijau disepadukan secara sistematik dalam latihan dan pendidikan.
Katanya, melalui karnival itu, strategi tidak lagi sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah menjadi peluang.
“Inilah pentas yang menghimpunkan penggubal dasar, majikan, ahli akademik dan belia untuk belajar, berkongsi, dan membina masa depan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Amar Hisham Jaaffar dari Universiti Tenaga Nasional mencadangkan kerajaan memasukkan elemen tenaga kerja hijau dalam subjek di universiti.
Beliau yang menjalankan kajian mengenai tenaga kerja hijau berkata langkah itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar khususnya ketika menjalani latihan industri.
“Bukan sahaja belajar teori tetapi juga perlu mempelajari dalam bidang praktikal.
“Perlu ada kerjasama antara industri dengan universiti dengan TalentCorp menjadi mediator,” katanya.

Amar Hisham turut berharap TalentCorp dapat menyediakan sijil tambahan yang membolehkan orang muda dapat berkhidmat di luar negara seperti Australia.
“Tenaga kerja hijau di Australia sedang berkembang dan Malaysia juga ada kerjasama dengan negara itu,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyeru Asean menerajui usaha peralihan ke ekonomi hijau di rantau ini, dengan peringatan krisis ekologi dan ekonomi menuntut penyelesaian kolektif.
Berucap pada Forum Pekerjaan Hijau Asean (AGJF) 2025, Sim menggambarkan situasi semasa sebagai ‘paradoks kemandirian’.
Sim turut menekankan usaha serantau bawah kepengerusian Malaysia, termasuk Rangka Kerja dan Pelan Tindakan Asean bagi Peralihan Adil dan Inklusif ke arah Pekerjaan Hijau (2025–2030) serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Serantau Asean untuk Pekerjaan Hijau.