
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saifuddin berkata 28,525 individu telah dipindahkan ke negara asal di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah tersebut, seramai 21,039 lelaki dewasa (74%), 6,145 perempuan dewasa (21%), 778 kanak-kanak lelaki (3%), dan 563 kanak-kanak perempuan (2%).
Katanya, warga Indonesia menjadi kumpulan tertinggi melibatkan 11,085, diikuti Myanmar (4,885) dan Filipina (4,885).
Saifuddin berkata, walaupun Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, namun negara menghormati prinsip ‘non-refoulement’ atas dasar kemanusiaan.
“Secara prinsip, Malaysia tidak memindah mana-mana pemegang kad UNHCR melainkan untuk tujuan penempatan negara ketiga,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik International Organization for Migration (IOM) 2024, seramai 8,627 pelarian dan pemohon suaka telah ditempatkan ke negara ketiga.
“Negara penerima penempatan semula pelarian dan pemohon suaka yang tertinggi adalah Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand,” katanya.
Saifuddin berkata demikian menjawab persoalan dibangkit Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), mengenai bilangan pengusiran dilakukan mengikut pecahan umur, jantina, kewarganegaraan, dan status UNHCR.