
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara saksi utama yang akan dipanggil ialah pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah mangsa, dan dijangka memberi keterangan berhubung punca kematian Zara.
“Pasukan pegawai pengendali telah membuat persiapan rapi, termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan semasa prosiding serta penyerahan dokumen kepada peguam-peguam pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, inkues itu turut disertai beberapa pihak berkepentingan dan peguam pemerhati yang dilantik serta dibenarkan oleh Mahkamah Koroner.
Antara pihak berkepentingan adalah ibu kepada Zara yang diwakili oleh Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak dan Messrs FN Lee & Nasser.
Peguam lima remaja yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara juga menyertai inkues itu sebagai pihak berkepentingan.
Mereka diwakili Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates dan Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.
Sabah Law Society pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi prosiding ini.
Inkues itu ditetapkan pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept, serta 22 hingga 30 Sept di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.
Pada 8 Ogos, AGC mengarahkan jenazah Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Pada 13 Ogos, AGC mengumumkan satu inkues akan diadakan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.