
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar, berkata kerajaan tidak sepatutnya mengembalikan semula sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam liat.
Katanya, kaedah itu dilihat satu bentuk hukuman tidak menyeluruh dan boleh menimbulkan kesan negatif.
“Kami berpendapat terdapat cara lain lebih efektif dan kurang kontroversi menangani isu peminjam ingkar, antaranya kerajaan boleh tawar insentif kepada peminjam membayar balik dengan konsisten.
“…misalnya melalui potongan kadar faedah,” katanya kepada FMT.
Untuk rekod, PTPTN ada menyediakan kemudahan mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, berkata kerajaan sedang mempertimbang mengenakan semula sekatan perjalanan ke luar negara melibatkan peminjam liat PTPTN walaupun berkemampuan.
Azamuddin ketika mengulas lanjut, menyekat perjalanan buat peminjam ingkar tidak sensitif serta langkah ke belakang.
Azamuddin berkata, kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus dengan pihak mahasiswa dan NGO lain untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengembalikan sekatan tersebut.
“Selain itu, kerajaan perlu menunjukkan usaha yang serius memenuhi janji-janji manifesto walaupun dalam bentuk yang diubah suai,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi berkata, walaupun berdasarkan prinsip bahawa selagi berhutang wajib dibayar, cadangan menyekat perjalanan individu ingkar bukan mekanisme terbaik.
“Ia boleh memberikan persepsi tidak baik kepada kerajaan kerana tindakan dianggap tidak popular dan meletakkan risiko kepada parti kerajaan menjelang PRN dan PRU.
“Ia juga tidak sesuai misalnya mereka yang baru kerja dikehendaki ke luar negeri atas tugasan rasmi dan menyusahkan,” katanya.