
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi bermagnitud 2.5 pada skala Ritcher itu, berlaku pada 7.56 malam dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 2.6 darjah utara dan 102.8 darjah timur, kira-kira 13km utara dari Segamat, Johor pada kedalaman 10km.
“Gegaran turut dirasai di Johor. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook.
MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran berkenaan supaya mengisi borang soal selidik, bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan data terperinci berhubung kejadian berkenaan di pautan https://forms.gle/2oEMtASN33W6TV9g7.
Sejak beberapa hari lepas, dua kejadian gempa bumi lemah turut dilaporkan di daerah ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk walaupun tiada laporan kerosakan diterima setakat ini.
Semalam, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.
Pada 24 Ogos, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah, masing-masing berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat pada 6.13 pagi dan magnitud 2.8 di Yong Peng, 28km barat laut Kluang pada 9 pagi
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi memaklumkan tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima setakat ini susulan gegaran lemah yang berlaku itu.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata berdasarkan laporan awal, gegaran dapat dirasai oleh penduduk sekitar Segamat dan kawasan berdekatan.
“Pihak berkuasa keselamatan serta agensi-agensi yang berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di Segamat berada dalam keadaan selamat terutamanya untuk orang awam.
“Orang ramai diminta bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini melalui saluran rasmi seperti MetMalaysia serta agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.