
“Peranan Sabah sejak sekian lama dalam projek huluan dan hiliran telah membawa kepada usaha pentadbiran terdahulu untuk mewujudkan syarikat penyertaan negeri, bermula dengan Sabah Gas Industries sehinggalah Sabah International Petroleum.
“Namun, harus diakui pengurusan syarikat-syarikat tersebut mempunyai beberapa kekurangan,” katanya kepada FMT.
Sabah Gas Industries terpaksa diswastakan pada era 1990an kerana berdepan masalah kewangan.
Dalam pada itu, Sabah International Petroleum, yang ditubuhkan pada 2010, menanggung beban hutang mencecah RM1.6 bilion sebelum diambil alih oleh SMJ Energy pada 2023 yang kemudiannya berjaya memulihkan syarikat tersebut.
Menurut Masidi, SMJ Energy ditubuhkan berlandaskan kesedaran terhadap kesilapan langkah pentadbiran-pentadbiran sebelumnya.
“SMJ Energy diwujudkan berteraskan mandat yang jelas dan menguntungkan, pengurusan profesional berasaskan merit, serta bebas campur tangan politik,” katanya.
Tambahnya, syarikat itu turut memberi keutamaan kepada pengurusan risiko lebih ketat, ketelusan dan dasar dividen serta pelaburan semula yang cermat.
Di bawah pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor, SMJ Energy berjaya mendapatkan pegangan komersial yang penting dalam projek O&G, menjadi pemangkin kandungan tempatan dan menempatkan Sabah untuk menikmati hasil kekayaan O&G negeri secara lebih langsung.
Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMJ Energy Dionysia Kibat berkata, sepanjang 2024 sahaja, syarikat itu menyumbang dividen RM160 juta kepada kerajaan negeri serta membolehkan perolehan kontrak RM2 bilion bagi vendor perkhidmatan dan peralatan O&G tempatan di Sabah.
Masidi memberitahu FMT, model tadbir urus yang diguna pakai untuk SMJ Energy memastikan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan Petronas membawa keputusan yang ketara.
“CCA berjaya kerana kita ambil pendekatan pragmatik dan berorientasikan hasil,” katanya.
“Kita letak objektif jelas, iaitu hak bersuara lebih besar, penyertaan lebih meluas dan hasil lebih tinggi, seterusnya libatkan Petronas dan kerajaan persekutuan sebagai rakan strategik jangka panjang, bukan sebagai musuh.
“SMJ Energy jadikan kita rakan setara yang berwibawa (kepada Petronas) dalam rundingan.
“Kombinasi antara kejelasan tuntutan, ketekalan pendekatan dan kecekapan bantu kita merealisasikan rundingan kepada tindakan tanpa gadai hak Sabah.”
Masidi menegaskan keutamaan pentadbiran Hajiji adalah untuk membawa pulangan segera kepada rakyat, bukannya terikat dengan pertikaian perundangan yang berpanjangan.
“Konflik perundangan yang berlarutan boleh cetus ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan melewatkan hasil,” katanya.
“Menerusi kerjasama dalam kerangka nasional sedia ada sambil mempertahankan kepentingan Sabah melalui CCA, kita berjaya segerakan perolehan manfaat ketara melalui penyertaan, kandungan tempatan dan pembinaan kapasiti, tanpa menolak kemungkinan perubahan dasar pada masa akan datang.”
Beliau turut memuji pasukan O&G SMJ yang berpengalaman kerana berjaya merangka cadangan yang berdaya maju dari sudut komersial dan operasi, sekali gus membina keyakinan serta membawa hasil yang boleh dinilai.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjamin pulangan untuk Sabah, malah elak pertikaian yang tidak wajar dan bawa hasil pantas yang boleh diukur,” katanya.
Terdahulu, penganalisis memberitahu FMT, strategi Sarawak yang lebih tegas, termasuk desakan agar Ordinan Pengagihan Gas 2016 negeri itu wujud bersama Akta Kemajuan Petroleum 1974, telah menimbulkan ketidaktentuan dari segi peraturan dan membuatkan pelabur resah.
Berbeza dengan Sarawak, Sabah mencatatkan peningkatan FDI jangka pendek sejak beberapa bulan lalu, antara lain didorong oleh perkongsiannya dengan Petronas dan kerajaan persekutuan yang dilihat lebih stabil dari segi politik.