Rakyat patut boleh bekerja di mana-mana, termasuk Sarawak, kata Zaid

Rakyat patut boleh bekerja di mana-mana, termasuk Sarawak, kata Zaid

Bekas menteri Zaid Ibrahim seru kepada pergerakan orang yang bebas, sesuatu yang Putrajaya harus tekankan.

kuching waterfront
Bekas menteri Zaid Ibrahim kata rakyat sepatutnya boleh bekerja di mana-mana termasuk Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menggesa Putrajaya memastikan rakyat boleh bekerja secara bebas di seluruh negara, sambil menegur peraturan imigresen Sarawak.

“Sarawak menggunakan hak imigresennya untuk kawal kakitangan yang bekerja di Sarawak. Kalau perkara ini kita tidak boleh selesai macam mana kita nak ada keamanan dalam negara?”

“Sekarang ini rakyat sepatutnya boleh bekerja di mana-mana. Sepatutnya ada pergerakan orang yang bebas. Itu mutlak yang sepatutnya kerajaan pusat tekankan,” katanya dalam episod terkini audio siar ‘Zaid Ibrahim Podcast’, menampilkan Hassan Karim dari PKR.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga percaya tuntutan Sarawak untuk mendapat bayaran RM10 bilion setahun akan memufliskan Petronas.

“Kerajaan kena pegang teguh pada prinsip bahawa Akta Kemajuan Petroleum undang-undang paling tinggi,” tambahnya.

Selesai segera pertikaian

Secara berasingan, Hassan berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mesti segera menyelesaikan pertikaian antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), demi kepentingan negara dan negeri.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan pendapatan dan imej global Petronas, dan ini katanya ‘bahaya’ dari segi politik.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu turut memberi amaran bahawa kuasa asing boleh mengambil kesempatan.

“Bila kita berdepan dengan pihak luar maka kita mesti bersatu. Jadi perlu selesaikan perkara ini,” katanya.

“Khazanah itu di laut mereka, di bumi mereka tapi dalam masa sama menyedari bahawa kerajaan memerlukan Petronas terus kukuh, sebagai syarikat kerajaan yang menyumbang kepada ekonomi negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.