
Johari berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, kemudiannya menamakan Ahli Parlimen Port Dickson, Aminuddin Harun untuk menggantikan Rafizi.
“Rafizi menyerahkan surat peletakan jawatannya minggu ini,” kata Johari kepada FMT.
“Seseorang perlu melaksanakan tugas itu dan presiden parti menamakan menteri besar Negeri Sembilan (Aminuddin).”
FMT sudah menghubungi Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, berhubung sebab beliau melepaskan jawatan tersebut.
Terdahulu hari ini, Dewan Rakyat meluluskan usul yang dibawa Timbalan Menteri Undang-Undang M Kulasegaran untuk melantik Aminuddin ke jawatankuasa itu. Usul berkenaan diluluskan melalui undian suara.
Jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan Johari, turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.
Semua enam ahli jawatankuasa itu memegang jawatan kepimpinan pusat dalam parti masing-masing.
Peranan jawatankuasa tersebut adalah melantik Ahli Parlimen ke beberapa jawatankuasa pilihan khas Parlimen.
Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei lalu selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan timbalan presiden PKR.