Polis tumpas sindiket edar dadah MDMA dalam vape

Polis tumpas sindiket edar dadah MDMA dalam vape

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata katrij cecair vape yang dijual boleh mencecah RM100 hingga RM200 bagi setiap botol 15ml.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus (tengah) menunjukkan dadah MDMA dan cecair vape bernilai RM1.48 juta yang dirampas dalam satu sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam cecair rokok elektronik atau vape bernilai RM1.48 juta dalam tujuh serbuan di Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata dalam serbuan pada 22 Ogos, pihaknya menahan sembilan individu berumur 24 hingga 34 tahun, termasuk seorang wanita warga Thailand.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan kondominium mewah yang mempunyai pagar dan pengawal keselamatan sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah serta menggunakan penghantar untuk mengedar dadah terbabit di sekitar Lembah Klang.

“Hasil serbuan tersebut, kita berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 3.5kg, 7.6 liter katrij MDMA dan botol cecair MDMA dianggarkan 39 liter.

“Kita percaya sindiket yang aktif sejak hujung tahun lepas itu mengedar dadah secara konvensional dan mempunyai sasaran pelanggan serta turut diedarkan di luar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Fadil berkata siasatan mendapati katrij cecair vape yang dijual boleh mencecah RM100 hingga RM200 bagi setiap botol 15ml.

Beliau berkata pihaknya turut merampas dan menyita pelbagai jenis kenderaan dan jam tangan mewah serta beg berjenama selain wang tunai RM1.5 juta.

Menurut Fadil, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu ditahan negatif dadah, dan semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata lima suspek direman tujuh hari hingga esok manakala reman terhadap empat individu lagi ditolak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.