
Peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, memaklumkan kepada media bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill telah memutuskan tiada keadaan khas membolehkan penangguhan itu diberikan.
Kes itu didengar dalam kamar mahkamah pagi tadi.
“Mahkamah menolak permohonan itu dengan kos RM2,500,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kamarul membayar RM400,000 sebagai ganti rugi dan RM80,000 sebagai kos guaman kepada Yeoh kerana memfitnahnya melalui dua hantaran di Facebook, diterbitkannya pada 2017.
Kamarul memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada Jun, namun lewat memohon penangguhan.
Kegagalan membuat pembayaran meskipun beberapa kali dituntut pihak Yeoh menyebabkan Ahli Parlimen Segambut itu memulakan prosiding kebankrapan.
Kamarul telah memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut bulan lalu.
Sangeet berkata, peguam Kamarul, Khairul Azam Abdul Aziz, membangkitkan isu kebankrapan itu di mahkamah hari ini. Namun, katanya, mahkamah berpandangan perkara tersebut tidak dianggap sebagai keadaan khas dan sepatutnya ditangani Mahkamah Insolvensi.
Khairul kemudian memaklumkan kepada pemberita beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya.