Pasang bendera terbalik: Klinik gigi digesa rayu penutupan 30 hari

Pasang bendera terbalik: Klinik gigi digesa rayu penutupan 30 hari

Menurut peguam perintah Majlis Perbandaran Pontian itu tidak setara kesalahan dan boleh dicabar di mahkamah.

klinik gigi bendera terbalik
Majlis Perbandaran Pontian pada 21 Ogos lalu mengarahkan sebuah klinik pergigian swasta di Pontian ditutup 30 hari selepas didapati mempamerkan Jalur Gemilang terbalik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakar perundangan menggesa sebuah klinik pergigian di Pontian merayu terhadap perintah penutupan selama 30 hari yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini kerana secara tidak sengaja mempamerkan Jalur Gemilang terbalik.

Walaupun Klausa 49(2) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019 memberi kuasa kepada PBT di negeri itu menutup mana-mana perniagaan yang melanggar syarat pelesenannya, peguam berpendapat, penalti terhadap klinik itu terlalu tegas dan tidak setara dengan sifat kesalahan.

Peguam Derek Fernandez berkata, penutupan seumpama itu lazimnya dikenakan terhadap pelanggaran yang mampu mendatangkan risiko terhadap kesihatan awam, keselamatan atau keharmonian.

“Menutup atau menggantung operasi perniagaan adalah perkara serius dan mesti ada asas baik untuk berbuat demikian,” kata bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.

“Perlu ada neksus mencukupi antara pelanggaran syarat dengan penutupan premis bagi mewajarkan kenapa tindakan seperti itu diperlukan, jika tidak ia mungkin terdedah untuk dicabar dari segi undang-undang. Lebih baik jika pemegang lesen terbabit membuat rayuan kepada pihak majlis sebagai langkah pertama.”

Fernandez berkata, dalam keadaan kesilapan boleh segera dibetulkan, amaran oleh pihak berkuasa serta arahan supaya pemilik premis membetulkan kesilapan itu sepatutnya memadai.

Pada 21 Ogos, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan sebuah klinik pergigian swasta di daerah itu ditutup 30 hari selepas didapati mempamerkan Jalur Gemilang terbalik.

Presiden MPPn, Abdul Azim Shamsuddin dilaporkan berkata, semua premis berlesen wajib mempamerkan Jalur Gemilang atau bendera Johor dengan betul bagi tempoh ditetapkan, termasuk sambutan Hari Kebangsaan.

Sementara itu, bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata sepatutnya denda boleh menjadi sanksi lebih sesuai jika dilihat pada keadaan kes.

“Apatah lagi apabila melibatkan pemegang lesen profesional yang menawarkan perkhidmatan perubatan, yang juga tertakluk kepada pemantauan badan regulatorinya sendiri.

“Pemilik perniagaan boleh mencabar keputusan pihak majlis di mahkamah menerusi semakan kehakiman.”

Pemimpin DAP Skudai, Dr Boo Cheng Hau mengecam tindakan MPPn yang disifatkannya ultra vires Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan peraturan berkait pengibaran bendera termasuk dalam bidang kuasa persekutuan serta jatuh di bawah penguatkuasaan polis.

Pakar Undang-undang Perlembagaan dan profesor adjung Univerisiti Malaya, Philip Koh, berkata kesahihan undang-undang bagi penguatkuasaan berkenaan bergantung kepada intipati undang-undang.

“Seorang pengamal profesional masih tertakluk kepada peraturan kerajaan tempatan, tetapi mesti ada perbezaan apabila penalti tidak setara dikenakan bagi tindakan tidak disengajakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.