Nga bidas pembangkang tak sokong RUU PSB

Nga bidas pembangkang tak sokong RUU PSB

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata tidak wajar pihak sebelum ini menyokong kini membantah RUU itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (dua dari kanan) melihat gambar bangunan usang bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (dua dari kiri) di Parlimen hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membidas tindakan pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 selepas undang-undang itu ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata sangat tidak wajar pihak yang sebelum ini menyokong kini mengambil pendirian untuk membantah pelaksanaan RUU itu.

“PSB ini bukanlah perkara baharu yang dibawa oleh kerajaan hari ini. Malah, garis panduan PSB sudah wujud sejak 2012 dan kerajaan-kerajaan sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk meluluskan akta ini demi membantu rakyat yang terkesan ketika mereka mentadbir.

“Namun kini, apabila berada di blok pembangkang, mereka menukar pendirian dan memutarbelitkan RUU ini. Seharusnya mereka bersikap jujur dan tidak mempolitikkan isu yang berniat suci murni ini,” katanya di Facebook.

Terdahulu hari ini, perbahasan RUU PSB 2025 ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang selepas berdepan penolakan kuat daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional.

Pegawai kepada Nga beritahu FMT bahawa RUU ini tetap dibentang untuk bacaan kedua hari ini, namun perbahasan dan pengundian akan dilakukan pada sidang akan datang.

Sebelum ini, BN mengumumkan ia bimbang akan RUU PSB dan mahu ia ditangguh, disusuli libat urus dengan semua pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan mengumumkan pendirian itu selepas bermesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN.

Antara perkara yang beliau bangkitkan, lapor Utusan Malaysia, tentang takrif ‘urban’, dan hak golongan yang tidak memberi restu kepada pembangunan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.