
Beliau menyerahkan memorandum itu kepada Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus, di ibu pejabat suruhanjaya sambil menyatakan ‘ancaman dihadapi melangkaui keluarganya’.
“Ianya mengenai integriti institusi kita, kedaulatan undang-undang, dan hak setiap rakyat Malaysia.
“Kedaulatan undang-undang tidak memberikan apa-apa makna sekiranya agensi penguat kuasa dikecualikan daripadanya. Tanpa akauntabiliti, kuasa dijadikan alat untuk penganiayaan, bukan perlindungan.
“Tiada seorang rakyat pun perlu merasakan keadilan tertakluk kepada kepentingan politik, dan bahasa kuasa kerajaan boleh digunakan tanpa pengawasan,” kata balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dalam kenyataan.
Antara lain, aduan tersebut menggesa Suhakam menyiasat dakwaan campur tangan politik oleh PMO dalam keputusan operasi SPRM serta menilai tindakan AGC dalam mengendalikan laporan polis dibuat Naimah sebelum ini.
Pada 21 Ogos, Mahkamah Tinggi membenarkan Naimah mendapatkan kebenaran merujuk beberapa persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kesahan pertuduhan pengisytiharan aset terhadapnya, yang mana beliau mengaku tidak bersalah pada Januari lalu.
Beliau didakwa gagal patuh syarat notis pengisytiharan aset dikeluarkan SPRM.
Jun lalu, peguam Naimah menyatakan kekecewaan terhadap tindakan AGC yang mengkategorikan laporan polis terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, sebagai tiada tindakan lanjut.
Laporan yang difailkan pada September lalu berkaitan satu artikel Bloomberg mengenai siasatan SPRM terhadap Daim sebelum kematiannya pada 13 Nov.
Dalam laporan tersebut, Naimah menyatakan artikel itu menunjukkan pertuduhan terhadapnya dan Daim merupakan konspirasi menyasarkan penentang politik Anwar dengan cara ‘menyelewengkan institusi negara dan badan penguat kuasa’.
Daim didakwa pada Januari tahun lalu kerana gagal mengisytiharkan aset kepada SPRM, termasuk kepentingannya dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di lima negeri, enam hartanah, dua akaun amanah saham, serta tujuh kenderaan mewah.
Selepas kematiannya pada November lalu, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut dan mahkamah memberikan perintah pelepasan dan pembebasan penuh terhadapnya.
Namun, agensi antirasuah itu menyatakan siasatan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kekal diteruskan.
Naimah didakwa gagal mengisytiharkan pemilikannya dalam beberapa syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang, serta dua kenderaan.