Kes bunuh pelajar: Seorang dipenjara seumur hidup, 12 selama diperkenan TYT

Kes bunuh pelajar: Seorang dipenjara seumur hidup, 12 selama diperkenan TYT

Pada 22 Ogos lalu Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja bersalah membunuh bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu.

Pada prosiding penetapan hukum hari ini Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang tertuduh manakala 12 yang lain dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, Mac tahun lalu.

Hakim Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh masih bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.

Pada 22 Ogos lalu, mahkamah sama memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Nazmie.

Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, lapor Berita Harian.

Mereka dituduh bersama-sama membunuh Nazmie di bilik asrama kolej berkenaan pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.

Nazmie atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.

Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.