
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, mengulas laporan media berhubung jumlah kes salah laku buli di sekolah yang direkodkan tahun tahun lalu.
“Ini hanya data rasmi laporan kes buli di sekolah bawah KPM. Bagaimana pula dengan laporan kes buli di sekolah persendirian dan tahfiz?” menurut kenyataan.
“Bagaimana pula dengan kes buli yang tidak dilaporkan kerana bimbang dengan keselamatan diri, malu atau sebagainya. Tiada siapa tahu jumlahnya. Tentu jumlahnya bukan kecil anak.”
Menteri Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis pada 26 Ogos lepas melaporkan sebanyak 7,681 kes salah laku buli di sekolah bawah KPM yang direkodkan dari Januari hingga Disember 2024, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,992 kes melibatkan sekolah rendah dan 5,689 kes sekolah menengah, katanya kepada pertanyaan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, tentang jumlah kes buli di antara pelajar yang dilaporkan di sekolah kerajaan, tahun lalu.
Menghitung secara kasar 7,681 kes berbanding hari persekolahan, iaitu sekitar 190 hari, secara purata terdapat 40 kes buli dilaporkan sehari pada 2024, menurut Anuar.
“Jika dijumlahkan kes buli yang dilaporkan tahun 2023 (6,528 kes) dan 2024 (7,681 kes), maksudnya sudah terdapat sekurang-kurangnya 14,209 kes anak-anak kita yang dilaporkan menjadi mangsa buli di sekolah untuk dua tahun terakhir.
“Bagaimana pula data kes buli yang dilaporkan Januari sehingga Ogos 2025?” soalnya.
Anuar menggesa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendapatkan penjelasan tentang usaha berkesan yang diambil bagi pencegahan kes buli di sekolah, sejak 2023.
“Jika ada usaha yang berkesan, mengapa pula kes buli di sekolah terus meningkat? Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang patut tanya KPM di Dewan Rakyat,” katanya.