
Ia lulus dengan suara majoriti selepas 23 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim membentangkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU tersebut.
Bacaan kali pertama dibentang Sim Isnin lalu dengan empat komponen utama merangkumi definisi pekerja gig, mekanisme aduan, kadar bayaran serta keselamatan sosial.
Ketika membentangkan bacaan kali kedua, beliau berkata RUU itu adalah versi terbaik dan mendapat pengiktirafan pihak yang pakar.
Beliau berharap semua Ahli Parlimen menyokong RUU itu diluluskan sebagai ‘hadiah merdeka terbaik’ kepada pekerja gig.
“Saya berharap, masih berbaki tiga hari sebelum negara kita menyambut Hari Kebangsaan, ayuh Parlimen ini sama-sama memberikan hadiah merdeka terbaik buat 1.2 juta pekerja gig rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.
“Kaum pekerja bukan sekadar jentera ekonomi, jauh lagi hamba kepada golongan pemodal. Mereka adalah pembina bangsa dan nusa,” katanya.
RUU itu digubal selepas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Sumber Manusia merangka mekanisme perlindungan khusus buat sektor berkenaan.
Selain sesi libat urus, ruang maklum balas dalam talian turut menerima lebih 500 pandangan bagi memperkukuh draf RUU berkenaan.
RUU Pekerja Gig 2025 antara lain memperuntukkan perlindungan hak pekerja, kewajipan entiti kontrak, syarat perjanjian perkhidmatan, mekanisme penyelesaian pertikaian serta penubuhan Majlis Perundingan dan Tribunal Pekerja Gig.