Warisan gerak solo, tanding 73 kerusi DUN Sabah

Warisan gerak solo, tanding 73 kerusi DUN Sabah

Presidennya Mohd Shafie Apdal berkata dengan keputusan itu Warisan tidak akan membentuk atau bekerjasama dengan parti lain.

Mohd Shafie Apdal
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata parti itu memberi tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri.
KOTA KINABALU:
Warisan memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN tidak lama lagi, tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan yang dipengerusikannya hari ini.

“Parti memutuskan secara sebulat suara untuk bertanding 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya.

“Ini keputusan parti, bukan keputusan presiden seorang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Warisan kini berada di blok pembangkang dalam DUN bersama Barisan Nasional Sabah.

Shafie yang juga bekas ketua menteri menegaskan Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat Sabah, dengan memberi tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri.

Mengulas lanjut mengenai keputusan parti itu untuk bergerak solo, beliau berkata pengalaman kerjasama sebelum ini bersama pelbagai parti politik gagal membuahkan hasil positif kerana lebih tertumpu kepada perebutan kerusi serta jawatan.

“Kebimbangan mereka (parti lain) hanya berapa kerusi yang dapat, kemudian minta jawatan menteri. Kalau tidak dapat, mereka melompat lagi. Itu pengalaman yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.