Tiada perjanjian untuk perangkap Guan Eng dalam kes terowong, kata saksi

Tiada perjanjian untuk perangkap Guan Eng dalam kes terowong, kata saksi

Ahli perniagaan G Gnanaraja menegaskan bahawa beliau tiada sebarang permusuhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

G Gnanaraja
G Gnanaraja nafi berbohong mengenai menjadi ‘orang tengah’ dalam memudahkan pembayaran berkaitan projek terowong dasar laut tersebut.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak membuat sebarang perjanjian dengan pihak berkuasa untuk memerangkap bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam kes projek terowong dasar laut.

Saksi pendakwaan, G Gnanaraja, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Lim, RSN Rayer.

Rayer mencadangkan bahawa Gnanaraja mungkin membuat perjanjian dengan pihak berkuasa memandangkan beliau pada awalnya disiasat dan didakwa atas kesalahan menipu, namun kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan dan hanya didenda.

“Saya tidak bersetuju (dengan hujahan itu),” kata Gnanaraja.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak mempunyai sebarang permusuhan terhadap Lim dan menafikan berbohong di mahkamah mengenai peranannya sebagai ‘orang tengah’ dalam memudahkan pembayaran berkaitan projek terowong dasar laut tersebut.

Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli memberinya RM19 juta sebagai ‘pinjaman persahabatan’ pada 2017.

“Sebanyak RM15 juta didepositkan dalam akaun CIMB manakala RM4 juta lagi diberi secara tunai.

“Daripada RM4 juta itu, RM2 juta adalah untuk YB Lim,” katanya.

Menjawab soalan sama ada beliau mengetahui mengenai keterangan Zarul di mahkamah yang mendakwa ditipu berhubung RM19 juta itu, Gnanaraja berkata beliau mengetahuinya.

“Saya tidak bersetuju (dengan keterangan Zarul). Itu versi beliau, saya pula ada versi saya sendiri tentang apa yang berlaku,” katanya.

Gnanaraja berkata beliau sebelum ini kerap berhubung dengan Zarul melalui WhatsApp dan kedua-duanya merujuk Lim sebagai ‘big boss’.

“Ia hanya perkataan umum untuk merujuk seseorang yang mempunyai kuasa,” katanya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa Zarul menggunakan istilah ‘coklat’ dalam mesej WhatsApp untuk merujuk wang tunai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan bersambung Khamis.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada Zarul keuntungan projek jalan raya dan terowong dasar laut.

Bekas menteri kewangan itu juga dituduh meminta sebanyak RM3.3 juta sebagai balasan melantik syarikat Zarul melaksanakan projek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.