Skandal 1MDB, Jana Wibawa bukti perlu RUU Perolehan, kata PM

Skandal 1MDB, Jana Wibawa bukti perlu RUU Perolehan, kata PM

Anwar Ibrahim berkata ketelusan dan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan negara bukan lagi pilihan tetapi tuntutan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 sebagai langkah berani dalam melakukan anjakan besar dalam tatakelola. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa skandal yang pernah menggemparkan negara sebelum ini seperti 1MDB dan program Jana Wibawa membuktikan pentingnya Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 digubal, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata ketelusan dan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan negara tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya satu tuntutan yang mesti dilaksanakan.

Beliau menyifatkan RUU Perolehan Kerajaan 2025 sebagai langkah berani dalam melakukan anjakan besar dalam tatakelola, lapor Astro Awani.

“Daripada skandal Maminco sekitar 1980-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar akibat urus niaga Forex, Perwaja sehinggalah tragedi 1MDB, perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan perolehan ketenteraan.

“Terkini, skandal Jana Wibawa menjadi bukti nyata persoalan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, malah tuntutan mesti kita laksanakan. Kita mesti memastikan bahawa tidak ada lagi pengulangan seumpamanya pada masa hadapan,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat.

Skandal Maminco-Makuwasa dilaporkan menyebabkan negara kerugian RM1.6 bilion, manakala skandal forex Bank Negara pada awal 1990-an menyaksikan Malaysia kehilangan kira-kira RM32 bilion rizab.

Skandal 1MDB pula setakat ini menyaksikan bekas perdana menteri Najib Razak dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta. Bagaimanapun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Skandal Jana Wibawa pula menyebabkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.